Yus Design 2008 Allright Reserved

Menjunjung Titah

Hari ini hari Ahad. Hari yang terakhir dalam anak tangga akademi hari. Sudah termaktub sejak dahulu kala, dan tidak perlu lagi undian sms bagi meletakkan hari ini di kedudukan yang terakhir. Dalam erti kata yang lain, berakhirnya satu minggu dalam 7 hari. Kerana, bukan sahaja Dragon Ball, malah satu minggu juga ada tujuh biji hari kesemuanya!

Oleh sebab itu, ada yang menyebut hari Ahad sebagai hari-7, hari hujung minggu atau hari minggu sahaja. Hari ini merupakan hari yang ke-172, dalam minggu yang ke-25, dan hari ke-21 dalam minggu ke-3 bulan Jun untuk tahun 2009. Apapun sebutan atau perhitungan harinya, setiap tahun dalam minggu ke-3 bulan Jun telah ditetapkan bahawa hari sambutan ulangtahun kepada mereka yang bergelar Ayah, Abah, Abih, Baba, Bapak, Daddy, Dadi mahupun Death (anak kejam) .

Bapak Ku Bukan Bapak Mu
Ringkas dan selesa (juga tidak kejam), saya memilih gelaran Bapak. Oleh itu, hari ini Hari Bapak. Selamat Menyambut Hari Bapak. Sayangilah Bapak anda seperti anda menyayangi Emak anda ataupun Kekasih anda ataupun Isteri/Suami anda. Kerana, tanpa Bapak anda siapalah anda. Tanpa Bapak anda juga, sudah pasti anda adalah anak yang ditemui di dalam Recycle Bin.Kerana Bapak anda sahajalah, yang berhak untuk ber-Bin/Binti-kan anda, bukan Bapak orang lain, atau Bapak mertua, Bapak tiri dan Bapak Ayam misalnya.

Bapak Borek Anak Rintik.
Hebat atau jahat, baik atau buruk, kuat atau lemah, berani atau penakut, kacak atau kurang kacak sifat dan sikapnya, Bapak bukan minyak Kayu Kapak, bukan bola sepak, bukan barang antik, seperti juga anda, seorang anak, seorang Manusia, ada hati dan perasaan. Jika masih hidup, sambutlah Hari Bapak bersama Bapak anda. Hadiahkanlah seekor ikan kaloi misalnya, sebagai tanda menghargai kerjayanya sebagai seorang Bapak yang cemerlang. Ikhlas walaupun Bapak anda sudah nyanyuk.

Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Hari Bapak kepada Bapak saya, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima kepada 2 orang cucunya, Menteri Penuh kepada 9 orang anaknya merangkap Raja kepada seorang Permaisurinya. Ya! Seorang sahaja. Cukup! Semoga panjang umur dan sehat selalu.

Tidak lupa juga kepada seluruh Bapak Bapak yang ada di seluruh dunia. Yang sudah berumahtangga tetapi belum bergelar Bapak segeralah melakukan perkara yang sepatutnya untuk bergelar Bapak. Anak bukan beban, bukan juga rezeki, permata, buah hati apalagi pengarang jantung. Anak adalah anaklah.. mungkin juga anugerah, seperti saya yang menganugerahkan Bapak Saya The Living Legend..


Sungguh bertuahlah siapa yang mendapat anak seperti saya. Seperti anak menantu misalnya. Ehem !

0 Comments:

Post a Comment



Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama